Legenda Terrunggari Si Buaya Kinabatangan





                           








BILA
berbicara soal cerita legenda sang bedal mesti ramai diantara kita
mengaitkannya dengan satu cerita sang bedal y
ang
gah namanya iaitu Bujang Senang mahupun koncon-konconya yang lain seperti
Bujang Seblak dan banyak lagi. Disebalik pelbagai versi cerita legenda sang
bedal jangan pula lupa bahawa di Sungai Kinabatangan, Sabah juga tidak kurang
hebatnya dengan buaya mereka yang sudah tentu ganas dan saban tahun menuntut
jiwa manusia menjadi mangsanya.





Cerita
legenda buaya putih Kinabatangan mungkin tidak popular di kalangan kita tetapi
ada satu yang istimewa apabila berkata mengenai si buaya putih ini. Istimewanya
buaya putih ini kerana menurut kepercayaan masyarakat di Kinabatangan, ianya
boleh berkomunikasi dengan manusia. Dikatakan zaman dahulukala penghidupan
buaya dan manusia di sepanjang sungai Kinabatangan tiada masalah kerana mereka
berkongsi satu sungai yang sama.





Alkisahnya
beratus-ratus tahun dahulu di Sungai Kinabatangan ada seekor buaya putih yang
menjadi ketua segala buaya di sungai tersebut. Buaya jantan itu bernama
Terrunggari dan ianya amat dihormati oleh sang buaya mahupun manusia. Diperkira
pada waktu itu sebarang percanggahan antara manusia dan buaya kebiasaannya akan
dirujuk kepada Terrunggari untuk mencari jalan penyelesaian. Begitulah betapa
aman damainya penghidupan di Sungai Kinabatangan pada waktu itu.





Pada
suatu hari luar dari kebiasaan dikatakan Terrunggari telah menculik seorang
budak lelaki yang sedang mandi manda di sungai. Kejadian tersebut amat
menggemparkan penduduk namun tiada apa yang boleh dilakukan kerana Terrunggari
adalah buaya yang bersaiz besar dan gagah. Penduduk di tepi sungai hanya mampu
melihat budak lelaki itu dibawa pergi oleh Terrunggari ke satu lokasi yang
tidak diketahui.





Namun
disebalik segala pemahaman penduduk kampung bahawa budak lelaki itu telah
dibaham Terrunggari sebenarnya amat meleset sama sekali. Ini kerana hakikatnya
budak lelaki tersebut langsung tidak dicederakan malah dijaga sebaiknya oleh
Terrunggari dan apabila tiba di satu lokasi, telah diletakkan di atas batu.
Sebenarnya tujuan Terrunggari menculik budak lelaki itu adalah sebagai saksi
pertarungannya. Pertarungannya dengan seekor buaya air masin yang bernama
Berlintang.





Berlintang
dikatakan seekor buaya air masin yang bersaiz besar dan juga tidak kurang
gagahnya mendominasi kawasan air masin. Dialah yang dikatakan ketua buaya air
masin di kawasan Kinabatangan yang sentiasa digeruni kerana keganasan dan gemar
memakan haiwan mahupun manusia sekiranya berpeluang. Dan pada waktu itu
dikatakan Berlintang amat memusuhi Terrunggari kerana dominasinya tidak boleh
melampaui Sungai Kinabatangan yang berair tawar.





Egonya
si Berlintang kerana ingin meluaskan wilayahnya menyebabkan dia mencabar
Terrunggari untuk membuat perhitungan. Cabaran si Berlintang disahut oleh
Terrunggari kerana dia harus menjaga maruahnya sebagai ketua buaya di Sungai
Kinabatangan. Maka ditetapkannya waktu untuk bertarung dan sebelum mereka
berdua memulakan pertarungan, Terrunggari telah awal-awal memberikan amanat
kepada budak lelaki yang menjadi saksi pertarungan mereka.





Terrunggari
berpesan untuk budak lelaki itu betul-betul memerhati buih yang membuak di
kawasan pergaduhannya. Ini kerana sekiranya darah putih yang muncul dari sungai
ini bermakna Terrunggari telah kalah dan Berlintang yang menang. Dan sekira
ianya berlaku maka budak lelaki itu harus beredar dengan segera dan memberitahu
setiap ketua penduduk kampung yang tinggal di tepi sungai untuk tidak mendekati
sungai lagi. Ini kerana apabila Berlintang sudah menguasai sungai Kinabatangan
bermakna manusia dan haiwan akan menjadi sasaran makanannya.





Usai
memberi amanat barulah Terrunggari dan Berlintang memulakan rentak pertarungan.
Satu pertarungan 2 ekor buaya yang bersaiz besar dan masing-masing mempunyai
kelebihan. Akhirnya pada satu ketika darah merah yang muncul dipermukaan air.
Budak lelaki yang berdiri dan khusyuk menyaksikan pertarungan itu mengetahui
bahawa Terrunggari telah menang di dalam pertarungan kerana darah merah itu
milik si Berlintang, si buaya air masin.





Dengan
kemenangan Terrunggari itu bermakna sekali lagi Sungai Kinabatangan aman damai
dengan manusia dan buaya hidup saling memahami antara satu sama lain. Bezanya
sekarang, buaya di Sungai Kinabatangan seringkali menjadikan manusia sasaran
selera mereka. Mungkin juga si Terrunggari sudah dikalahkan oleh suku sakat si
Berlintang iaitu buaya ganas air masin sehingga membenarkan ianya berlaku.







Sejauhmana
kebenarannya tidaklah diketahui kerana apabila berkata mengenai cerita legenda
hanyalah satu cerita yang penuh mitos dan simbolik. Dan ianya juga mempunyai
pelbagai versi kerana dipertuturkan secara oral dari satu generasi ke generasi
di kalangan masyarakat yang menghuni Sungai Kinabatangan.



Share this

Related Posts

close