Antara Melayu Hindu dan Buddha







Saya
runsing dengan masyarakat Malaysia zaman sekarang ini terutamanya dengan sikap
segelintir yang selalu sahaja membuat onar menidakkan
kewujudan sejarah Melayu kuno Hindu-Buddha. Mereka sangat susah untuk menerima
hakikat bahawa rumpun Melayu pada zaman kuno pernah menganuti agama Hindu
mahupun Buddha.





Mungkin
ini dikeranakan kelemahan di dalam sistem pendidikan kita sebelum ini. Sampai
bila gamaknya kami perlu terangkan kepada anda semua bahawa Hindu itu tidak
semestinya anutan orang India dan Melayu itu tak semestinya beragama Islam.
Bagi masalah ini kita harus ketepikan dahulu takrif Melayu dalam perlembagaan
yang agak sempit itu, kerana 1000 tahun dahulu negara Malaysia dan
perlembagaannya masih belum wujud.





Jika
anda bertemu seseorang yang bernama Mohammad adakah anda akan mengecam bahawa
dia seorang Melayu atau Arab, sedangkan orang kulit putih, orang negro Afrika
dan orang China juga ada bernama Mohammad jika mereka beragama Islam?





Malahan
jika seseorang itu bernama Arab juga belum pasti bahawa mereka beragama Islam
kerana wujud masyarakat Arab yang beragama Kristian dan Yahudi tetapi
menggunakan nama dalam bahasa Arab seperti Jamal, Razak, Jamil, Abu Sufian,
Musa, Isa dan Salman. Oleh itu adalah tidak berasas jika anda mengatakan bahawa
seorang raja Malayu yang bernama Parameswara sebagai seorang yang berbangsa
India, kerana selain daripada namanya, tiada bukti lain yang menunjukkan bahawa
beliau berbangsa India.





Ya,
beliau mungkin beragama Hindu dan menggunakan gelaran Hindu, namun ini belum
cukup membuktikan yang beliau berasal dari India atau berbangsa Tamil. Jika
beliau memang berasal dari India atau berbangsa Tamil, mengapa tidak dikekalkan
budaya, bahasa dan ciri-ciri keindiaan atau Tamilmya?





Mengapa
bila Islam datang tup-tup terus lenyap bahasa, tulisan dan ciri-ciri tamilnya
raja itu. Macam magic la pulak! Sedangkan kaum Tamil Muslim yang wujud di India
dan Malaysia pun masih mengekalkan bahasa, tulisan dan kebudayaan Tamil mereka
sejak zaman berzaman dan disesuaikan dengan ajaran Islam.





Jika
anda kata raja tersebut telah ‘Masuk Melayu’ atau jadi Melayu kerana agama
Islam, bagi saya alasan ini juga tidak munasabah kerana pada zaman tersebut
rajalah yang paling berkuasa dan dijadikan contoh serta ikutan rakyat bukan
sebaliknya raja yang perlu ikut cara hidup rakyat, tak ke pelik tu?





Kalau
beliau seorang Tamil atau berasal dari India, beliau boleh saja mencorakkan
orang Melayu mengikut corak budayanya sendiri seperti mewajibkan pemakaian
sari, yang lelaki pakai doti, tulisan dan bahasa rasmi adalah dalam Tamil dan
senibina rumah serta rumah ibadat juga senibina India selatan.





Namun
hakikatnya semua itu tidak berlaku kerana Parameswara dan lain-lain raja Malayu
yang beragama Hindu dan bernama Hindu atau Sanskrit bukan berbangsa India
tetapi MELAYU, walaupun memang terdapat dari kalangan mereka yang berkahwin dengan
wanita dari bangsa India.


Masih
lagi tidak mahu percaya? Masih lagi bingung dengan gambaran yang orang Melayu
sebelum kemasukan Islam adalah beragama Hindu atau Buddha? Baiklah, sebenarnya
kalau anda mahu lihat bagaimana cara atau amalan kepercayaan Hindu dan Buddha
masyarakat Melayu pada zaman kuno, anda boleh lihat dengan mudah di Jawa Timur,
Bali, Thailand dan Kemboja. Di Jawa Timur masih wujud sekelompok kecil
masyarakat Jawa yang masih mengekalkan ajaran Hindu zaman Majapahit.





Mereka
adalah suku etnik Osing dan Tengger. Kedua-dua suku ini bersama suku Bali dan
sedikit daripada suku Sasak adalah saki baki masyarakat rumpun Melayu dari
cabang etnik Jawa yang masih mengekalkan adat, budaya dan kepercayaan zaman
kerajaan Hindu yang terkenal di nusantara yakni Mojopahit.





Suku
Osing dan Tengger misalnya dikatakan berasal daripada keturunan putera-putera
Majapahit yang tidak mahu memeluk agama Islam pada kurun ke-16. Bilangan mereka
adalah kira-kira 400,000 orang dan mereka tnggal di daerah Banyuwangi di Jawa
Timur. Walaupun telah wujud ramai daripada suku ini yang memeluk agama Islam,
namun Islam yang mereka amalkan bukanlah Islam murni sebaliknya Islam Abangan
atau Islam yang bercampur ajaran Hindu dan nenek moyang.





Agama
Hindu yang diamalkan mereka juga berbeza dengan ajaran Hindu di India kerana ia
turut bercampur amalan animism dan pemujaan nenek moyang, agama Hindu mereka
dinamakan Hindu Thirta atau Hindu Dharma. Budaya Osing dan Tengger juga serupa
dengan budaya Bali, dan penganut Hindu Osing dan Tengger merayakan perayaan
Hindu yang sama dengan di Bali.


Jadi
jika kita mahu melihat bagaimana orang Melayu zaman dahulu mengamalkan ajaran
Hindu, maka lihat sahaja pada suku-suku ini. Malahan kerajaan Hindu Jawa Timur
iaitu Blambangan wujud sehingga tahun 1743 sebelum ditawan kerajaan Islam
Mataram. Orang-orang Hindu yang lari daripada penguasaan Mataram inilah yang
kemudiannya bermukim di Bali, Lombok dan Bayuwangi lalu membentuk kelompok
etnik Bali, Tengger dan Osing.





Lihat
juga pada kesenian, pakaian, senibina, makanan malah adat istiadat serta amalan
keagamaan suku Osing, Tengger dan Bali yang lansung tidak sama dengan apa yang
diamalkan oleh masyarakat Hindu di India. Dengan kata lain agama Hindu yang
diamalkan masyarakat rumpun Melayu ini bukan lagi agama Hindu murni tetapi
agama Hindu yang telah diubahsuai mengikut local genius masyarakat tempatan
yang tepu dengan kepercayaan animisme serta pemujaan roh nenek moyang, jadi ia
tidak lagi boleh dikatakan berpaksi kepada tamadun India sebaliknya ia adalah tamadun
yang mempunyai ciri khas yang tersendiri dan hanya asasnya sahaja yang diambil
dari tamadun India.





Perbezaan
yang paling ketara ialah pada senibina kuil-kuil Hindu di Bali dan Lombok yang
sangat jelas unsur-unsur local geniusnya, dan ia lansung tidak boleh disamakan
dengan kuil-kuil Hindu di India apatah lagi di India selatan. Itu belum lagi
jika saya menerangkan mengenai satu lagi kaum minotriti dalam rumpun Melayu
yang masih kuat mengamalkan ajaran yang berasaskan Hindu iaitu Melayu Cham
Balamon di Kemboja dan Vietnam.





Mereka
ini masih mengekalkan ajaran Hindu yang bercampur ajaran tradisional yang
diwarisi dari kerajaan purba Champa. Merekalah Pembina Cham Tower yang indah
serta unik binaannya tidak sama seperti binaan yang terdapat di India.





Analogi
mudah ialah seperti masakan Kari Kepala Ikan yang amat terkenal di Malaysia dan
Singapura. Walaupun Kari itu asalnya dari India, namun Kari Kepala Ikan tidak
dicipta di India tetapi sebaliknya ia dicipta di Malaysia atau Singapura
mengikut citarasa masyarakat tempatan. Oleh itu kita tidak boleh kata yang Kari
Kepala Ikan sebagai masakan warisan dari India, begitulah juga dengan amalan
dan kebudayaan Hindu-Buddha yang diamalkan oleh masyarakat Melayu pada zaman
dahulu dan suku etnik Osing, Tengger serta Bali sekarang.





Analogi
lain ialah tentang Laksa, walaupun dunia mengiktiraf bahawa bangsa China lah
yang mencipta mee, namun masakan Laksa tidak boleh dikatakan sebagai masakan
asli milik kaum Cina, kerana kuahnya dan rencahnya malah cara memasaknya adalah
khas bercitarasa tempatan dan dicipta oleh orang tempatan. Oleh sebab itu tiada
sebab mengapa orang India mahu mengklaim Kari Kepala Ikan atau orang Cina mahu
klaim Laksa sebagai milik bangsa mereka.





Itu
jika anda mahu lihat bagaimana amalan agama Hindu masyarakat rumpun Melayu
zaman sebelum Islam. Jika anda ingin lihat bagaimana masyarakat Melayu zaman
tersebut mengamalkan ajaran Buddha pula anda tak perlu fikir jauh-jauh hingga
ke Sri Lanka atau Nepal, lihat sahaja jiran kita Thailand, Kemboja, Burma dan
Laos. Boleh dikatakan sebahagian besar kerajaan-kerajaan Melayu kuno di
Semenanjung dan Sumatera adalah penganut ajaran Buddha seperti kerajaan Chih
Tu, Srivijaya, Gangganegara, Tambralingga, Kedah Tua, Kantoli, Pan-Pan,
Langkasuka dan beberapa buah lagi kerajaan lain.





Walaupun
kerajaan-kerajaan ini dikatakan mengamalkan ajaran Buddha, namun ia juga
bukanlah semurni ajaran asal Buddha seperti yang pernah diamalkan di Nepal dan
India. Sebaliknya seperti juga ajaran Hindu, ia telah bercampur dengan amalan
pagan, animism dan pemujaan nenek moyang. Malahan terdapat juga percampuran
unsur-unsur Hindu seperti keberadaan kasta Brahmin dalam golongan istana
sepertimana yang dicatatkan utusan dari dinasti Han ketika mereka melawat Chih
Tu, sebuah kerajaan Melayu Buddha yang dipercayai terletak di pedalaman
Kelantan.





Seperti
yang telah disebutkan tadi, ajaran Buddha yang diamalkan oleh masyarakat Melayu
purba juga banyak diselitkan unsur-unsur tradisional dan animisme. Kita boleh
meneliti hal ini jika kita mengkaji ajaran Buddha yang diamalkan di Thailand
pada hari ini. Walaupun Thailand dikatakan mengamalkan ajaran Buddha Theravada,
namun terdapat banyak unsur-unsur tempatan yang terpatri dan terpancar pada
amalan dan ritualnya. Di Thailand dan Burma walaupun mereka menyembah Buddha
tetapi mereka turut menyembah ‘Nat’ atau dewa-dewi alam serta roh nenek moyang.
Malahan amalan membina ‘rumah makan hantu’ di hadapan rumah mereka dan ritual
pemberian ancak dan bunga bukanlah amalan Buddha asli sebaliknya amalan
tradisional masyarakat Asia Tenggara termasuk juga masyarakat Melayu kuno.





Amalan
pemberian persembahan pada hantu, roh, busut dan pokok besar ini sudah sebati
dalam kalangan masyarakat tempatan dan ia tidak berubah sebaliknya terasimilasi
dengan ajaran Hindu mahupun Buddha apabila ia diperkenalkan di Asia Tenggara.
Contoh lain ialah amalan sihir dukun Tok Cha atau tok sami di Thailand. Dalam
ajaran asal Buddha tidak wujud upacara sihir dan jampi serapah dan sebagainya,
tetapi amalan ini adalah sinkretisme dari amalan tradisi orang-orang Asia
tenggara.







Sami-sami
Melayu zaman dahulu bukan sahaja mentelaah kitab-kitab Buddha tetapi turut
menjadi dukun atau bomoh yang mengubati pelbagai penyakit terutama yang
bersifat supra natural. Malah di Thailand sekarang masih wujud amalan pemakaian
cacah atau tattoo bermantera yang dilakukan oleh sami-sami Buddha. Ternyata
amalan ini tidak wujud pada ajaran asal Buddha.




Mengapa saya banyak mengambil contoh Thailand?








Hal
ini kerana Thailand masih mewarisi legasi kebudayaan Buddha zaman Melayu kuno
terutama zaman Srivijaya atau lebih dikenali sebagai Siweechai dalam bahasa
Thai. Selain itu sebahagian daripada wilayah tengah hingga selatan Thailand
juga pada zaman kuno adalah dibawah pengaruh kerajaan Melayu Srivijaya. Oleh
sebab itu pengaruh Melayu zaman kerajaan Buddha Srivijaya boleh digambarkan
sekiranya kita melihat pada budaya tradisi masyarakat Thai malahan Khmer pada
hari ini kerana kerajaan Khmer juga pernah bernaung dibawah kekuasaan
kerajaan-kerajaan Melayu seperti Funan, Champa dan Srivijaya.





Seperti
yang kita sedia maklum kerajaan Buddha yang paling kuat, besar serta terkenal
di seluruh nusantara adalah kerajaan Srivijaya. Nama atau gelaran raja-raja
Srivijaya jika dilihat secara kasar sangat tepu dengan pengaruh India atau lebih
tepat sebenarnya pengaruh Sanskrit dan Pali. Namun demikian terdapat bukti yang
kukuh bahawa mereka bukanlah dari bangsa India, antaranya ialah nama raja
terawal Srivijaya yang pernah dicatatkan iaitu Dapunta Hyang Sri Jayanasa.
Dapunta Hyang adalah gelaran yang tiada pada mana-mana raja India kerana ia
bukan berasal daripada bahasa Sanskrit apatah lagi Tamil, sebaliknya ia adalah
gelaran khas terhadap raja-raja Melayu purba.





Antara
nama-nama Maharaja Srivijaya yang lain ialah seperti Sri Indravarman, Rudra
Vikraman, Sri Dharmasetu, Samaratungga, Balaputradewa, Sri Udayadityavarman,
Sri Chulamanivarman, Mara Vijayatungga Varman Serta Sagrama dan Samara
Vijayatungga Varman.





Ya,
nama-nama ini berunsur keindiaan atau sebenarnya berunsur Pali serta Sanskrit.
Namun mereka bukanlah berbangsa India! Buktinya adalah daripada
prasasti-prasasti yang dipahat oleh raja-raja Srivijaya ini seperti prasasti
Kedukan Bukit 683 M, prasasti Talang Tuwo, 684 M, prasasti Kota Kapur 686 M,
prasasti Karang Berahi, prasasti Telaga Batu, prasasti Palas Pasemah, prasati
Hujung Langit, prasasti Sojomerto dan prasasti Gandasuli serta beberapa buah
lagi prasasti lain yang bertebaran dari Sumatera hingga ke Jawa. Kesemua
prasasti ini bukan ditulis dalam bahasa Hindustan, Punjabi, Gujarati, Benggali,
Malayali, Telugu mahupun Tamil, sebaliknya ia ditulis dalam bahasa Melayu kuno
yang bercampur dengan peminjaman kosakata Sanskrit tulin.





Anda
boleh Google sahaja tentang prasasti-prasasti ini dan baca bait-baitnya maka
anda akan sedar bahawa ia memang bahasa Melayu yang bercampur Sanskrit dan
bukan bahasa Tamil, Malayali atau Punjabi.





Orang
Melayu kuno bukanlah orang bodoh yang hanya tinggal di gua dan memburu di
hutan. Mereka pintar dan kreatif, mereka tidak meniru mentah-mentah ilmu yang
datang dari India. Mereka meniru agama dari India tetapi mereka mencorakkan
serta membangunkan agama serta tempat ibadatnya dengan kretiviti tempatan
bernuansa nusantara. Huruf pallava India pula dimodifikasi menjadi huruf Jawa
kuno dan Melayu kuno.





Bahasa
Melayu kuno juga ditambah dengan kosa kata dari bahasa sanskrit yang pada suatu
masa dahulu menjadi bahasa internasional. Peminjaman kosakata dari Sanskrit
bukanlah perkara yang asing dikalangan masyarakat Asia Tenggara, kerana selain
masyarakat Melayu, masyarakat Thai, Laos, Khmer dan Burma juga banyak meminjam
atau mencedok bahasa Sanskrit dan Pali ke dalam bahasa mereka.





Oleh
itu jelas disini bahawa hujah yang mengatakan bahawa kerajaan-kerajaan Hindu
Buddha yang wujud di nusantara ini adalah kerajaan suku kaum India dan bukan
milik kaum rumpun Melayu adalah salah sama sekali. Ternyata pihak yang
mengeluarkan hujah begini adalah buta sejarah atau memang sengaja mahu membangkitkan
sensitiviti orang Melayu dengan menidakkan ketamadunan bangsa Melayu. Mereka
cuba meracun masyarakat Melayu dengan cara meracun akarnya iaitu sejarah bangsa
Melayu. Jika mereka mahu hidup dengan harmoni seperti yang digembar-gemburkan,
tidak sepatutnya mereka memutarbelitkan sejarah masyarakat bumiputra.





Seharusnya
mereka menghormati dan menerima seadanya kelebihan yang ada pada kaum pribumi
dan bumiputra yang paling awal membina tamadun dan kerajaan di tanah bertuah
ini.





Apa
tidak cukupkah dengan sejarah tamadun bangsa mereka di tanah asal nenek moyang
mereka hinggakan sejarah ketamadunan bangsa rumpun Melayu juga ingin dibaham
dan dihak milikan oleh mereka? Bagaimana jika kami orang Melayu memperkotak
katikkan sejarah bangsa anda?





Bagaimana
kalau kami kata yang bahasa Tamil itu tidak wujud dan tamadun Chola itu hanya
dongeng pak kaduk dan orang-orang India sebenarnya tidak pernah mempunyai
tamadun apatah lagi kerajaan yang hebat? Apa macam? Tentu anda berasa marah,
geram dan menyampah bukan? Begitulah perasaan kami orang Melayu apabila sejarah
tamadun bangsa kami cuba di pertikaikan.








Share this

Related Posts

close