Kisah Samurai Jepang Terakhir di Tanah Kalimantan








SEKITAR
tahun 1941 akhirnya Sarawak Kingdom jatuh juga ke tangan Jepun yang telah
menakluki bumi Asia Tenggara melalui kempen Perang Dunia Kedua pada waktu itu.
Dan untuk Borneo di ketika pemerintahan Jepun, pada asalnya pemusatan kuasa
tentera Jepun adalah di Miri, Sarawak sebelum ditukar ke Kuching sekitar April
1942.





Miri
dipilih kerana disinilah Jepun mula bertapak di Sarawak disamping keberadaan
mereka pada waktu itu lebih kepada untuk memulihkan kembali infrastruktur
minyak dan gas yang hampir musnah di ketika taktik bumi hangus dijalankan oleh
Brooke sebelum kalah perang pada waktu itu.







Dan
menurut sejarahnya pemerintahan Jepun di Sarawak terdapat dua orang pegawai
tertinggi Jepun pernah menjadi orang utama mereka iaitu Jeneral Marquis
Toshinari Maeda dan Jeneral Yamawaki Masataka. Kedua-duanya mempunyai cara yang
berbeza namun yang dikatakan lebih kejam merupakan Jeneral Maeda. Ini kerana
beliaulah pemerintahan tentera Jepun yang pertama berada di Sarawak dan
mengatur strategi segalanya sejak Sarawak mahupun Borneo di dalam taklukan
Jepun suatu waktu dahulu.








Dilahirkan
dengan nama sebenar iaitu Toshinari Maeda pada tanggal 5hb June 1885 merupakan
anak kelima kepada keluarga Maeda yang juga merupakan antara keluarga bangsawan
Jepun yang terkenal dengan kehebatan “shogun” mereka suatu waktu dahulu.
Sekitar awal tahun 1900an, beliau dilantik sebagai “Marquis” atau Ketua
keluarga Maeda di wilayah Kozuke, Jepun.





Sebagai
seorang yang lahir di kalangan keluarga “shogun” maka adalah tidak
menghairankan sekiranya Maeda memilih bidang ketenteraan sebagai kerjayanya
walaupun hakikatnya beliau dikelilingi dengan limpahan kemewahan. Menamatkan
pendidikan ketenteraannya pada tahun 1911 dengan mendapat penganugerahan “Sword
Emperor” atas kecemerlangannya menjadikan beliau antara anggota tentera yang
cukup disegani di kalangan orang Jepun pada masa itu.





Sekitar
tahun 1913, Maeda merupakan antara anggota tentera Jepun yang telah dihantar
untuk melanjutkan pelajaran ke Eropah iaitu negara German dan seterusnya ke
British. Boleh dikatakan beliau merupakan anggota tentera yang mempunyai latar
belakang pendidikan dunia ketenteraan Jepun dan Barat. Selepas melalui Perang
Pasifik pada tahun 1939, beliau memilih untuk bersara di dalam dunia
ketenteraan bagi menumpukan perhatian untuk pembentukan keluarga Maeda yang
diketuainya.





Namun
apabila kempen Perang Dunia Kedua berlangsung dengan Jepun diarahkan untuk
mendominasi Asia Tenggara, sekali lagi perkhidmatannya dituntut oleh Maharaja
Jepun pada masa itu. Dikatakan dengan strategi yang dibentuk oleh beliaulah
kejayaan penaklukan Miri itu cukup lancar pada masa itu. Dan dari Miri, tentera
Jepun telah mula menakluki seluruh Sarawak sehinggalah akhirnya Kuching,
ibukota Sarawak Kingdom jatuh ke tangan Jepun beberapa hari selepas itu.





Pada
April 1942 iaitu selepas beberapa bulan Sarawak dibawah Jepun, Maeda telah
bertindak untuk menukar pusat pentadbiran Jepun di Miri ke Kuching pula. Beliau
berpendapat sekiranya di zaman Brooke dahulu, Kuching adalah pusat
pemerintahannya maka adalah tidak wajar Miri pula menjadi pusat pemerintahan
ketika Jepun memerintah. Lagipun pada masa itu, infrastruktur minyak dan gas di
Miri sudahpun hampir pulih sepenuhnya.





Usai
Kuching dijadikan pusat pemerintahan Jepun di Borneo maka hal pertama yang
dilakukan oleh Maeda adalah untuk memasuki Astana Sarawak yang menjadi tempat
kediaman Brooke berabad lamanya. Dan jika kita melihat gambar-gambar vintaj
Astana Sarawak sudah semestinya kita akan melihat bagaimana bangunan Astana
Sarawak ketika Brooke memerintah dipenuhi dengan tumbuh-tumbuhan menjalar di
sekelilingnya.





Dikatakan
di ketika Maeda mula memasuki Astana Sarawak itulah beliau telah memerintah
agar tentera Jepun mencabut dan membuang kesemua tumbuh-tumbuhan menjalar
tersebut. Menurut cerita lisan ada sebabnya mengapa Brooke membiarkan
tumbuh-tumbuhan menjalar itu hidup segar di Astana Sarawak kerana dikatakan
membawa tuah. Dan sekiranya dibuang maka akan jatuh bala ke atas pembuatnya.





Disepanjang
pemerintahan Maeda dikatakan segala tindakan dan hukuman beliau begitu tegas
dan keras. Namun pada masa yang sama turut cuba untuk berbaik-baik dengan
masyarakat tempatan dengan dikatakan banyak ahli majlis Sarawak pada masa itu
masih dipilih dikalangan pemimpin tempatan. Walaupun begitu pemimpin tempatan
hanyalah sebagai “patung boneka” sahaja kerana segala hukum mahupun peraturan
adalah masih lagi terletak diatas budi bicara pegawai tentera Jepun dan
langsung tidak sama di ketika Brooke memerintah suatu waktu dahulu.





Tanggal
5hb September 1942 menjadi saksi bagaimana Maeda telah menjatuhkan hukuman
pancung sampai mati ke atas lima orang Sarawak di satu kawasan yang terletak di
Padungan, Kuching. Pada ketika itu kesalahannya hanya kerana mencuri minyak
diesel tentera Jepun bagi kegunaan pelita di waktu malam masyarakat tempatan
yang hidup serba-serbi di dalam kepayahan pada itu. Tidak pernah mahu bertolak
ansur sama sekali, Maeda sendiri menyaksikan hukuman tersebut dijalankan.





Dikatakan
usai sahaja hukuman pancung itu dijalankan, Maeda dan juruterbangnya telah
bergegas ke Lapangan Terbang Kuching untuk menaiki pesawat ke Labuan atas
urusan pentadbiran Jepun disana. Bukanlah satu rahsia di dalam dunia
ketenteraan bagaimana Maeda sebenarnya juga seorang juruterbang yang
bertauliah. Namun pada kali ini pesawat jenis buatan Mitshubishi pada 9
Februari 1942 yang baharu sahaja diterima beliau untuk berkhidmat di Sarawak
tidak pernah sampai ke destinasinya.





Menurut
sejarah dunia penerbangan pada masa itu, laporan menyatakan bahawa pesawat
Maeda telah terhempas di kawasan persisiran Tanjung Batu, Bintulu dengan
mengorbankan Maeda dan juruterbangnya. Hanya sebulan selepas itu dikatakan ada
puing-puing pesawatnya ditemui terapung di perairan Bintulu namun mayat Maeda
dan juruterbangnya sehingga sekarang tidak ditemui dan punca ianya terhempas
juga tidak dapat diperjelaskan.





Ada
juga cakap-cakap di dalam dunia ketenteraan Perang Dunia Kedua menyatakan usai
sahaja perang tamat, puing-puing pesawat Maeda iaitu dibahagian komponen
ekornya yang menggunakan siri kod V-110 telah dibawa ke Melbourne, Australia
oleh Tentera Australia. Ianya kekal di muzium tentera mereka sebagai salah satu
artifak sejarah yang dipamerkan bagi mengenang Perang Dunia Kedua yang
berlangsung di Sarawak suatu waktu dahulu.





Di
pihak tentera Jepun pula, turut dikatakan bahawa pernah ada satu tiang belian
didirikan berdekatan dengan Tanjung Batu di Bintulu bagi mengenang peristiwa
terhempasnya pesawat Maeda di lokasi tersebut. Namun usai sahaja perang tamat
dikatakan mereka sendiri telah mencabut tiang belian tersebut untuk diserahkan
kepada keluarga Maeda di Jepun.







Begitulah
pengakhirannya seorang yang turut dikenali sebagai “The Last Samurai In Borneo”
yang juga seorang dari keluarga Shogun di Jepun iaitu pemerintah tertinggi
tentera Jepun pertama bernama Jeneral Marquis Toshinari Maeda yang berkhidmat
Borneo dari tahun 1941 sehingga 5 September 1942. Menurut kepercayaan
masyarakat tempatan pada masa itu, kematiannya disebabkan “sumpahan” membuang
tumbuhan menjalar yang ada di Astana Sarawak beberapa bulan sebelum tragedi
berlaku. Beralaskan bahawa pesawat yang digunakan beliau adalah pesawat yang
baharu maka adalah tidak masuk akal ianya rosak dan sebagainya.





Samada
ianya satu suratan atau kebetulan hanya Illahi sahaja yang mengetahui
kebenarannya. Sehingga sekarang cerita kehilangan dan terhempasnya pesawat yang
dinaiki seorang jeneral Jepun yang hebat dengan cerita arahan siksaan tahanan
perang di seluruh Borneo ini kekal menjadi satu misteri di dalam sejarah “musim
Jepun merentah Sarawak” yang berlangsung dari tahun 1941 sehingga 1945.











Share this

Related Posts

close