Legenda Rang Dungo dan Telur Emas Dayak Lundayeh










MASYARAKAT
Lundayeh bukan sahaja ada di Sarawak malah mereka juga sebenarnya bertebaran di seluruh Pulau Borneo samada di Sabah,
Brunei mahupun di Kalimantan itu sendiri. Walaupun sudah berbeza dari segi
tempat tinggal namun mereka masih tetap lagi berkongsi warisan dan tradisi yang
sama dan ini termasuklah cerita-cerita legenda yang menjadi penghias cerita
oral di dalam masyarakat mereka.


Jika kita
berbicara mengenai cerita legenda hampir keseluruhan masyarakat yang mendiami
Pulau Borneo secara relatifnya mempunyai cerita tersendiri mengenai asal
bermula masyarakat mereka beribu-ribu tahun dahulu. Dan ini tidak terkecuali
dengan masyarakat Lundayeh yang turut mempunyai cerita legenda yang begitu unik
untuk kita ketahui.


Al-sahibul
hikayat beribu-ribu tahun dahulu iaitu di ketika hanya ada seorang sahaja
manusia dari kalangan masyarakat Lundayeh yang tinggal di Pulau Borneo. Beliau
adalah seorang pemuda yang dikatakan sangat kacak dengan tubuh yang sasa serta
berkulit putih. Rang Dungo itulah namanya mengikut penceritaan orang-orang tua
di kalangan masyarakat Lundayeh.


Rang
Dungo adalah seorang pemuda yang serba serbi hebat kerana walau hidup
keseorangan pada masa itu, beliau mampu melakukan segalanya baik dari mengemas
rumah, memasak sehinggalah berburu di hutan untuk kelangsungan hidupnya. Namun
walau hebat di dalam segalanya sebenarnya Rang Dungo menjalani penghidupannya
di dalam kesepian. Ini kerana beliau tidak mempunyai sesiapa untuk mengadu
nasibnya sehingga adakalanya dikatakan beliau bersedih dengan nasib yang
menimpa dirinya.


Pada satu
malam di ketika beliau sedang nyenyak tidur dikatakan beliau telah mendapat
satu mimpi yang mengarahkan beliau untuk mendaki satu gunung di kawasan tempat
tinggalnya. Keesokan harinya apabila beliau bangun menyebabkan beliau teringat
akan pesanan tersebut namun seperti kebanyakan oranglain sudah tentu Rang Dungo
tidak ambil kisah akan mimpinya itu.


Akhirnya
setelah 3 malam berturut-turut mendapat mimpi yang sama akhirnya Rang Dungo
berfikir sendiri bahawa ini bukan mimpi yang biasa-biasa. Maka pada satu hari
yang baik setelah beliau menyediakan segala kelengkapan dan bekalan untuk satu
perjalanan yang jauh. Rang Dungo mengetahui bukanlah mudah untuk mencari dan
seterusnya mendaki satu gunung seperti yang diceritakan oleh mimpinya itu.


Bermulalah
perjalanan Rang Dungo hanya berpandukan pesanan yang diberikan di dalam mimpi
tersebut. Akhirnya tanpa disedari, pencarian Rang Dungo berjaya juga dengan
beliau sudah sampai di kaki gunung yang tersangat tinggi sehingga puncaknya
langsung Rang Dungo tidak dapat melihatnya dari bawah. Pada ketika itu juga keazaman
beliau juga begitu kuat untuk cuba merungkai apakah makna sebenar mimpi yang
mendatangi lenanya selama 3 malam berturut-turut.


Bermulalah
langkah Rang Dungo mendaki gunung tersebut dengan kadang-kadang hanya berpaut
pada akar-akar pohon yang tumbuh di kawasan gunung. Ada ketika beliau lelah
lalu berehat sebentar melepaskan penat dengan memakan apa sahaja bekalan yang
beliau bawakan dari rumahnya. Hampir satu hari satu malam beliau mendaki gunung
namun belumlah lagi puncak gunung itu mampu dilihatnya sehinggalah apabila
keadaan kian gelap maka Rang Dungo mengambil keputusan untuk bermalam buat hari
yang kedua.


Dek
kerana kepenatan mendaki gunung maka mudah sahaja Rang Dungo melelapkan mata.
Ketika di dalam tidur inilah sekali lagi beliau bermimpi dengan pesanan yang
berbeza. Kali ini mimpinya menyatakan bahawa beliau sudah semakin mendekat
dengan puncak gunung dan beliau harus memulakan perjalanan akhirnya ke puncak
sebelum matahari terbit.


Dan Rang
Dungo sebelum sampai ke puncak harus mengambil beberapa helai daun pisang yang
ada di kawasan puncak untuk perlindungan diri. Dan turut dinyatakan hanya di
puncak itulah nanti Rang Dungo akan menjumpai sesuatu yang amat berharga buat
dirinya dan bila ditemui harus dibawa pulang ke rumahnya dengan segera.


Kali ini
Rang Dungo terbangun selepas menerima mimpi sehingga agak payah beliau untuk
melelapkan mata kembali. Akhirnya dengan kedinginan di kawasan pergunungan,
sekali lagi Rang Dungo terlena juga. Akibat daripada gangguan sewaktu beliau
tidur semalamam menyebabkan Rang Dungo terbangun agak lewat. Dikatakan siang
sudah pun menjelma dengan sang mentari sudahpun memancarkan kepanasannya ke
bumi.


Tanpa
berlengah Rang Dungo terus memulakan perjalanannya sehingga ke puncak pada hari
itu juga. Namun baru sahaja dia sampai ke puncak, beliau terpaksa berundur
kembali kerana tidak tertahan dengan panahan kepanasan cahaya matahari kepada
dirinya. Kulitnya yang putih sudah menampakkan kemerah-merahan kerana cuaca
yang terlalu panas pada ketika itu.


Akhirnya
Rang Dungo teringat akan pesanan di dalam mimpinya yang mengarahkannya untuk
mengambil beberapa helai daun pisang. Dan ternyata memang ada sebatang sahaja
pohon pisang yang ada di kawasan tidak jauh daripada puncak gunung tersebut.
Diambilnya 3 helai daun pisang dan dengan menggunakan daun pisang inilah beliau
jadikan perlindungan daripada panahan matahari yang panas.


Sewaktu
di puncak di ketika beliau sedang melilau mencari “harta” yang dimaksudkan
itulah akhirnya beliau terlihat ada sebiji telur yang berwarna-warni serta saiz
yang agak luar biasa terselit di antara bongkah batu. Menurut naluri Rang Dungo
amat pasti inilah “hadiah” yang dimaksudkan di dalam mimpinya dan tanpa
berlengah beliau terus membawa telur itu pulang ke rumahnya.


Sebenarnya
bukanlah satu yang mudah untuk Rang Dungo membawa sebiji telur yang bersaiz
besar menuruni gunung. Namun kerana kesungguhannya akhirnya Rang Dungo berjaya
juga sampai ke destinasinya dengan selamat. Sampai di rumah lalu Rang Dungo
meletakkan telur itu di bahagian dapur rumahnya. Dan akibat telah kehabisan
tenaga akhirnya Rang Dungo terlena di ruang tamu tanpa makan mahupun minum.


Hendak
dijadikan cerita akhirnya Rang Dungo terjaga dari tidurnya dan alangkah
terkejutnya kerana di ketika beliau melangkah ke dapur, beliau terlihat segala
urusan dapur telah siaga semuanya dengan makanan untuk santapannya juga sudah
terhidang. Ini menimbulkan sesuatu yang pelik di dalam diri Rang Dungo kerana
selama beliau hidup hanya beliau sahaja yang ada di kawasan itu. Belum pernah
lagi beliau terserempak dengan mana-mana manusia.


Kerana
terlalu lapar dan kehausan, Rang Dungo pun mula bersantap dan menikmati masakan
yang terlalu enak pernah beliau makan seumur hidupnya. Di ketika beliau santap
itulah beliau terlihat seorang wanita yang begitu cantik menghampirinya dengan
senyuman yang manis. Terhenti santapnya si Rang Dungo melihat kesempurnaan
wanita di hadapannya.


Dengan
nada lembut wanita itu memperkenalkan dirinya sebagai “Terur Eco” atau “telur
matahari” iaitu jelmaan telur yang dibawanya dari puncak gunung. Terur Eco
menyatakan beliaulah “harta” yang dimaksudkan di dalam mimpi yang menyinggah 3
malam berturut-turut tidur Rang Dungo. Terur Eco adalah hadiah untuk Rang Dungo
yang hidup kesepian serta keseorangan di muka bumi selama ini.


Begitulah
ceritanya legenda Rang Dungo dan Terur Eco yang dipercayai merupakan bermulanya
masyarakat Lundayeh yang bertebaran di Pulau Borneo suatu waktu dahulu. Mungkin
kerana adanya percampuran perkahwinan dengan Terur Eco yang berasal dari telur
yang putih bersih maka umum mengetahui betapa masyarakat Lundayeh juga
dikurniakan dengan kulit yang putih-putih serta bersih seperti yang kita lihat
sekarang.


Inilah
antara sastera rakyat di kalangan masyarakat Lundayeh yang tidak kurang
keunikan jalan ceritanya. Mengikut ilmu sains sudah tentu ianya tidak masuk
akal tetapi orang dulu-dulu mempunyai cara untuk memperindahkan jalan cerita
bagi hiburan semua. Dan sudah tentu penceritaan ini mempunyai banyak versinya
kerana disampaikan secara lisan dari satu generasi ke generasi yang lain.











































Sesungguhnya
kita di Borneo tidak pernah kurang daripada cerita rakyat yang indah-indah
namun tidak begitu diwar-warkan buat pengetahuan semua.






Share this

Related Posts

close