Pengaruh Kerajaan Majapahit di Malaysia









Majapahit
(1293 – 1478) yang mempunyai pengaruh terhadap perjalanan Sejarah Malaysia





Oleh Ahmat Adam


Selama ini tiidak ramai
orang Malaysia yang sedar bahawa terdapat babak
tertentu dalam sejarah Malaysia kuno yang menunjukkan peranan kuasa luar
seperti Majapahit. Baru-baru ini saya berkesempatan melawat daerah Trowulan di
Jawa Timur yang pada suatu waktu merupakan situs kerajaan Majapahit.


Asal nama Majapahit





Menurut tradisi lisannya, nama kerajaan Majapahit
itu berpunca daripada peristiwa Raden Wijaya beristirahat di bawah sebatang
pohon bernama “Maja” (Mojo) yang banyak tumbuh di daerah yang bernamaTarik.
Kononnya, salah seorang pengawal Raden Wijaya telah memetik buah “maja”, lalu
memakannya. Tetapi oleh kerana rasa buah itu sangat pahit dia pun
memuntahkannya; lagipun buah itu menyebabkan perajurit itu mabuk. Daripada
peristiwa inilah Raden Wijaya menamakan daerah hutan Tarik yang terletak di
pinggir Sungai Brantas itu “Majapahit”. Mitos ini jugalah yang telah memberi
ilham kepada pengarang asal “Sejarah Melayu” untuk menulis kisah bagaimana
asalnya negeri Melaka dibuka, iaitu berasaskan nama kayu rendang tempat Raja
Iskandar Syah berdiri, yang benama kayu “Melaka”. Ini berlaku semasa pelanduk
putih menerjunkan anjing perburuan raja. Jika hutan Tarik di Jawa itu dikatakan
terletak di tepi Sungai Brantas, maka Raja Iskandar Syah pula dikatakan berjalan
ke tepi pantai, iaitu pada sebuah sungai bernama Bertam di tepi laut.





Sekarang ini jika anda berkunjung ke daerah
Trowulan yang terletak di kabupaten Mojokerto anda boleh melawat “Muzium
Majapahit” yang mempunyai koleksi terbesar mengenai tinggalan-tinggalan sejarah
kerajaan Majapaht. Trowulan adalah situs kota Majapahit yang meliputi kawasan
seluas 11 km x 9 km. Situs ibu kota kerajaan Majapahit itu dibina atas rupa
bumi yang datar di kaki tiga buah gunung, iaitu Penanggungan, Welirang dan
gunung Anjasmara.
 





Di kawasan muzium Majapahit itu anda akan dapat
melihat rupa buah dan pohon yang dikenali orang Jawa Timur sebagai “mojo” (atau
“maja”). Rupa buah “maja” ini seperti epal yang besar. Namun saiz paling besar
berukuran seakan-akan buah “limau bali” atau “limau abong”. Dalam kawasan luas
muzium itu memang terdapat beberapa pohon “mojo” yang sentiasa berbuah.
Daripada nama “mojo” ini sampai sekarang masih terdapat nama kota/daerah yang
berprefikskan kata “mojo” seperti Mojokerto, Mojowarno, Mojoagung, Mojojejer,
Mojotengah, Mojotrisno, dan Mojongapit.




Pohon
Maja (Mojo) dan buahnya yang pahit



Di
Trowulan, muzium Majapahit yang besar itu memuatkan berbagai artifak arkeologi
seperti arca dan patung, serpihan tembikar dan barangan logam yang berupa
tinggalan kerajaan Majapahit. Juga terdapat di kawasan Trowulan itu situs
arkeologi yang menunjukkan tanda-tanda tapak yang masih atau sedang digali. 




Pengasasan kerajaan Majapahit







Pengasas kerajaan Majapahit ialah Raden Wijaya (juga disebut Dyah Wijaya). Dia
telah mengasaskan kota Majapahit di wilayah hutan Tarik (berhampiran pelabuhan
Canggu) pada tahun 1293 selepas jatuhnya kerajaan Singasari,. Tetapi dari segi
pemerintahannya mahupun dari sudut susur-galur raja-rajanya, kerajaan Majapahit
adalah merupakan kesinambungan daripada kerajaan Singasari. Nama lengkap Raden
Wijaya menurut prasasti Kudadu yang bertarikh 1126 Saka atau 1204 Masehi ialah
Nararya Sanggramawijaya. Tetapi Raden Wijaya hanya baru dinobatkan sebagai Raja
Majapahit pada tahun 1294. Menurut kitab “Pararaton” dia memerintah sampai ke
tahun Saka 1267 atau 1345 Masehi. Tetapi menurut “Nagarakertagama” (yang
dikarang oleh Prapanca pada tahun 1365) Raja Kertarajasa atau Raden Wijaya
mangkat pada tahun 1231 Saka bersamaan 1309 Masehi. Dia didharmakan (dikuburkan)
di Simping iaitu di Candi Sumberjati (di daerah Blitar). Kuburnya itu bersifat
Çiwaistis (Sivaistic).
 





Nama Raja Majapahit pertama ini ada kaitan penting dengan hubungan Jawa dengan
Semenanjung Melayu, khasnya Terengganu, dan hubungan ini bertambah kukuh lagi
pada era suku kedua abad ke-14 iaitu ketika Patih Gajah Mada dilantik oleh raja
Majapahit, Bhre Kahuripan, memegang jawatan Patih Amangku Bumi dari sekitar
1331 – 1364 Masehi. Perdana Menteri itu telah mengamalkan dasar perluasan
wilayah yang menyebarkan pengaruh kerajaan Majapahit sampai ke Semenanjung
Melayu. Dalam “Nagarakertagama”, pupuh XIV (2), Prapanca menyebutkan bahawa
Pahang, Hujung Medini (wilayah Johor sekarang), Langkasuka, Saimwang (tempat
ini tidak diketahui dengan jelas di mana letaknya), Kelang, Kedah Jerai, dan
Kanjapiniran (yang juga tidak diketahui dengan jelas letaknya), Kelantan, Paka,
Muwar (sic), Dungun, Tumasik dan Sang Hyang Hujung adalah wilayah bawahan
Majapahit. Di antara wilayah-wilayah ini Terengganu adalah wilayah yang menarik
dari segi hubungannya dengan Majapahit. Kata “Terengganu” yang dipakai dewasa
ini adalah bentuk tercemar daripada kata Kawi (asal Sanskrit), “taranggana”
yang bererti bintang atau sekelompok bintang. 





Menurut lidah Jawanya
“taranggana” disebut “taranggano”. Berdasarkan batu bersurat Terengganu yang
ditemui di Kuala Berang, ternyata kewujudan hubungan dengan Jawa telah terbukti
daripada tarikh yang terukir pada batu bersurat itu – iaitu 708 Hijrah atau
1308 Masehi. Sistem kalendar Jawa dan ayat-ayat dan kata-kata Kawi yang
terlihat digunakan oleh pemahat batu bersurat Terengganu itu menunjukkan adanya
pengaruh Jawa. Khusus tentang batu bersurat dan pengaruh kebudayaan Jawa yang
tertera dalam tulisan Jawi pada batu bersurat itu akan saya bincangkan dalam
karya saya mengenai batu bersurat tersebut; karya ini bakal diterbitkan dalam
masa terdekat.









Seyogia diperhatikan ialah betapa pengaruh kebudayaan Jawa dapat dilihat di
pantai timur Semenanjung sampai kini. Ciri rasa manis makanan di Kelantan
misalnya sama seperti di Jawa. Juga istilah Jawa “punggawa” (yang dalam bahasa
Kawi bererti ketua atau pemimpin), juga dipakai di Kelantan tetapi dengan erti
ketua daerah atau kampung, atau penghulu.









Baru-baru ini ketika saya berkunjung ke Surabaya, saya diberitahu bahawa di
daerah Jawa Timur istilah “nasi kerawu” yang mempunyai ramuan resep (recipe)
yang sama dengan “nasi kerabu” memang terkenal dalam masyarakat Jawa Timur.
Dari segi sebutan linguistik hal ini tidak mengherankan kerana fonem [w] dan
[b] memang boleh bertukar ganti dalam bahasa Jawa dan Melayu seperti kata
“wulan” disebut “bulan”, “wayang’ disebut “bayang” dan “wujang” (yang bererti
lelaki atau perempuan muda yang belum kahwin) disebut “bujang” dalam sebutan
Melayu.


























Sebagai penutup, saya fikir sudah tiba masanya ahli-ahli sejarah tanah air
memberikan perhatian kepada sejarah kuno mengenai hubungan kuasa luar dengan
wilayah-wilayah yang kini berada dalam gabungan kerajaan yang bernama
Persekutuan Malaysia. Selain wilayah Semenanjung Malaysia, kawasan sepanjang
Sungai Kaluka di selatan Sarawak dan Malano (Melanau), serta Sedu, juga di
Sarawak, tercatat di dalam “Nagarakertagama” sebagai “mandala” atau wilayah
bawahan Majapahit. Gambar di bawah menunjukkan pohon "maja" dan
buahnya yang pahit.



Share this

Related Posts

close