Sejarah Kerajaan Brunei Tua














Bila
disebut Kerajaan Kesultanan Brunei Darussalam sudah semesti ramai yang
mengetahuinya lebih-lebih lagi Negara Brunei Darussalam sekarang adalah negara
yang kaya raya baik dari segi ekonominya serta sejarah kewujudannya yang unik
sehingga mampu bertahan sehingga ke hari ini.
 


Untuk kali ini Borneo Oracle akan berkongsi
informasi tentang satu sejarah kuno Negara Brunei Darussalam itu sendiri. Ianya
adalah merujuk kepada satu sejarah kerajaan kuno, asas kepada Kerajaan
Kesultanan Brunei Darussalam yang kita kenali sekarang. Yang pasti sejarah
kerajaan kuno ini dikenali dengan Kerajaan Brunei Tua yang mana ketika itu
ianya adalah bukan sebuah kerajaan Islam tetapi sebaliknya adalah sebuah
kerajaan berpengaruh hindu.



Terlebih dahulu sebagai pembuka bicara adalah lebih
molek sekiranya kita membuka pencerahan kepada asal usul namanya Brunei kerana
ini bersangkutan secara langsung dengan apa yang akan diperjelaskan di dalam
artikel ini.



Bagaimana Brunei Mendapat Namanya Sebenarnya ramai para sejarahwan masih lagi berteka-teki
di dalam memperjelaskan bagaimana Brunei mendapat nama. Ada yang mengatakan
bahawa ianya terbit daripada bahasa China iaitu “Wen Lai”. Ada juga satu
pendapat lagi berkata bahawa nama Brunei itu sebenarnya terbit daripada bahasa
Sanskrit kuno iaitu “Varunai” yang membawa maksud sesuatu yang berhubung dengan
laut.



Dan di dalam satu syair purba yang berjudul Syair
Awang Semaun pula menyebut bahawa nama Brunei itu berasal daripada perkataan
Barunah yang merujuk kepada rombongan yang dipimpin oleh Pateh Barbai yang
singgah ke Sungai Brunei mencari tempat untuk membina sebuah kerajaan baru.
Apabila sudah mendapat lokasi yang sesuai dengan diapit oleh bukit, bekalan air
juga senang diperolehi serta mudah dihubungi dengan jalan air serta kaya dengan
sumber laut seperti ikan akhirnya mereka mengucapkan perkataan “Baru Nah” yang
bererti tempat itu sangat baik dalam serba serbi.



Apa yang menarik adalah suatu waktu dahulu Brunei
itu tidak disebut sebagai Brunei tetapi di dalam jurnal-jurnal sejarah kuno
baik dari Greek, Arab, China dan banyak lagi, Brunei itu disebut dengan
pelbagai nama seperti Poni, Pome, Poli, Boni, Burni, Burney, Borneo dan banyak
lagi. Inilah yang menjadi satu tanda tanya adakah yang dimaksudkan di dalam
jurnal-jurnal sejarah lama ini merujuk kepada satu lagi kerajaan purba yang
pernah berdiri megah di Negara Brunei suatu waktu dahulu.



Kewujudan Kerajaan Brunei Tua Melalui Sumber-sumber
Sejarah Dunia
Sebenarnya amat sedikit ruang
informasi di dalam kita cuba mengenal sejarah Kerajaan Brunei Tua ini kerana
tiadanya pertemuan arkeologi di dalam mengesahkan kewujudannya ditambah lagi di
Negara Brunei Darussalam sendiri tidak begitu menyatakan pensejarahan secara
khusus mengenai keberadaan Kerajaan Brunei Tua. Namun begitu menurut pengkaji
sejarah mempercayai bahawa terdapatnya sebuah kerajaan lain sebelum tertubuhnya
Kerajaan Kesultanan Brunei yang digelar Po-ni mengikut catatan dari Negara
Tembok Besar China. Menurut catatan dari China serta Arab juga menunjukkan
bahawa kerajaan kuno ini wujud dengan lokasinya adalah di muara Sungai Brunei
dan kewujudannya adalah seawal abad ke-6 atau ke-7 masihi.



Di dalam jurnal sejarah ini juga ada menyatakan
bahawa Kerajaan Brunei Tua ini pernah ditakluk oleh empayar Srivijaya dan
seterusnya menguasai Borneo dan juga gugusan Pulau Filipina. Ianya juga pernah
dijajah oleh Empayar Majapahit yang kemudiannya mampu membebaskan dirinya
ketika empayar Majapahit mencapai zaman kegelapannya. Dan kenyataan ini
bolehlah diambil daripada satu manuskrip lama bertulisan jawi yang berberjudul
Alamat Zaman Ketahtaan Nagari Baruni iaitu ada menyatakan.



“Alkisah peri mengatakan zaman dahulukala di nagari
Barunai berugama kafir. Pada zaman itu nagari Barunai mengantar upti ka
Majapahit satahun satampayan air pinang muda. Maka apakala Awang Alak Batatar
menjadi raja tiadalah baginda manghantar upti lagi ka Majapahit. Ratu Majapahit
pun sudah mati dan Patih Gajah Mada pun mati. Nagari Majapahit pun tiada daya
... damikian riwayatnya.



Berdasarkan kepada bait-bait manuskrip Alamat Zaman
Ketahtaan Nagari Baruni ini sememangnya merujuk kepada sebuah kerajaan kuno
dahulu yang diceritakan sebagai sebuah negara yang bukannya mempunyai pengaruh
Islam di dalam kerajaannya.



Dan jika kita merujuk kepada Batu Tarsilah Brunei
yang merupakan antara prasasti agung di dalam memperkatakan salsilah Kesultanan
Brunei Darussalam bermula daripadanya Sultannya yang pertama dan ianya adalah
tertulis seperti berikut:



“Inilah salasilah Raja-raja kerajaan di negeri
Brunei dinyatakan oleh Datu Imam Yaakub. Ia mendengar daripada Marhum Bongsu
yang bernama Sultan Muhyiddin dan Paduka Maulana Sultan Kamaluddin. Kedua-dua
raja itu menyuruh menyuratkan datuk nenek moyangnya supaya diketahui oleh
segala anak cucunya sampai sekarang ini. Wallahu’alam.
 


Maka paduka Seri Sultan Muhammad Tajuddin memberi
titah kepada Khatib Haji Abdul latif untuk menyuratkan salasilah ini diketahui
oleh segala anak cucunya raja yang mempunyai Takhta Mahkota Kerajaan dalam
kandang Daerah Negeri Brunei Darussalam yang turun-temurun yang mengambil
pusaka Nobat, Nakara dan Genta Alamat dari negeri Johor Kamalul Makam dan
mengambil lagi pusaka Nobat dan Nakara dan Genta Alamat dari Minangkau iaitu
Negeri Andalas.
 


Maka adalah yang pertama kerajaan di negeri dan
membawa ugama Islam dan mengikut syariat Nabi kita Muhammad Sallahu ‘Alaihi wa
Sallam iaitu Paduka Seri Sultan Muhammad dan saudaranya Sultan Ahmad. Maka
beranak seorang perempuan dengan isterisnya saudara Raja China yang diambil
oleh Sharif Ali yang turun dari Negeri Taif.
 


Maka Sharif Ali itulah kerajaan kerajaan dinamakan
ia Paduka Seri Sultan Berkat yang megeraskan syariat Rasullullah Sallallahu
‘Alaihi wa Sallam dan berbuat masjid dan segala rakyat Cina berbuat Kota Batu.
Tuan Sharif Ali itu pancir salasilah daripada Amirul Mu’minin Sayiddna Hasan
cucu Rasullullah. Maka Paduka Seri Sultan Berkat ini beranakkan Sultan
Sulaiman, Sultan Sulaiman beranakkan Paduka Seri Sultan Bolkiah iaitu Rajanya
Datu Gamban dan lagi Sultan Bolkiah beranakkan Paduka Seri Sultan Abdul Kahar
yang dinamai Marhum Keramat. Marhum Keramat beranakkan Paduka Seri Sultan
Saiful Rijal.



Sultan Saiful Rijal beranakkan paduka Seri Sultan
Shah Brunei. Kemudian saudaranya pula kerajaan Paduka Seri Sultan Hasan ialah
Marhum Di-Tanjung. Maka anak cucu baginda itu yang mengambil kerajaan
di dalam Negeri Brunei itu mana yang baik
bicaranya.
 

Sultan Hasan itulah yang keras di atas takhta
kerajaan mengikut perintah Sultan Mahkota Alam yang di Negeri Acheh dan Sultan
Hasan yang beranakkan Sultan Abdul Jalilul Akbar yang dinamai Marhum Tua yang
beranakkan Sultan Abdul Jalilul Jabbar. Sultan Abdul Jalilul Jabbar beranakkan
Pengiran Bendahara Untong.
 
 
Pengiran
Bendahara Untong
yang beranakkan
Pengiran Temenggong Mo’min Amirul Faza di dalam Negeri Brunei juga. Kemudian
saudaranya Marhum tua dinaikkan Kerajaan bernama Paduka Seri Sultan Muhammad
Ali ialah nenda Paduka Seri Sultan Muhammad ‘Alauddin yang kerajaan sekarang
ini di Negeri Brunei. Maka wafatlah baginda itu. 



Maka kemudian kerajaan pula anak saudaranya bernama
Paduka Seri Sultan Muhyidin. Kemudian anak saudaranya Paduka Seri Sultan
Nasruddin. Kemudian anak Sultan Muhammad Ali bernama paduka Seri Sultan
Kamaluddin ialah memberikan kerajaannya kepada cucu saudaranya ialah kerajaan
pada masa ini bernama Paduka Seri Sultan Muhammad ‘Alauddin. Kemudian
menjadi raja pula anaknya Paduka Seri Sultan Omar Ali
Saifuddin. Kemudian diberikan pula kerajaannya itu kepada anaknya Paduka Seri
Sultan Muhammad Tajuddin. 



Kemudian diberikan lah kerajaannya itu kepada
anaknya Paduka Seri Sultan Muhammad Jamalul Alam. Maka telah wafatlah baginda
itu. Maka kembali pula kerajaannya itu kepada ayahanda baginda iaitu paduka
Seri Sultan Muhammad Tajuddin, wallahu ‘alam. Kemudian dari itu tiadalah hamba
mengetahui akan hal anak cucunya yang akan menjadi raja pada hijrat Nabi
Sallallahu ‘Alaihi wa Salla. Seribu dua ratus dua puluh setahun pada tahun Dal
pada dua haribulan Dzulhijjah pada hari Arba’a Sannah 1221. “



Berdasarkan kepada apa yang tertulis di dalam
Tarsilah Brunei ini yang ditulis pada abad ke-13 Masihi ianya lebih merupakan
salsilah kesultanan Brunei yang berada di zaman pemerintahannya dipengaruhi
sebagai sebuah kerajaan islam.
Yang
lebih menarik di dalam memperhalusi keberadaan Kerajaan Brunei Tua ini mungkin
boleh disingkap dari beberapa jurnal sejarah Negara Tembok Besar China. Umum
mengetahui bahawa sejak dahulu lagi saudagar-saudagar dari Negara China telah
memainkan peranan yang penting di dalam memperkembangkan hasil perdagangan
mereka sehingga ke bumi Nusantara.



Di dalam satu sejarah yang ditulis ketika Dinasti
Sung memerintah ini dikatakan bahawa lokasi Kerajaan Brunei Tua yang dikenali
dengan nama Kerajaan Poni disingkap menerusi tiupan angin iaitu perjalanan dari
Kerajaan Poni ke Jawa akan memakan masa selama 45 hari, Ke Palembang 40 hari
dan ke Champa 50 hari. Jika adanya pengetahuan tentang jarak perjalanan ini
maka bolehlah dikatakan bahawa Kerajaan Poni ini sebenarnya agak terkenal di
kalangan saudagar-saudagar dari Negara China suatu waktu dahulu.



Di dalam satu riwayat yang ditulis ketika Dinasti
Sung (976M – 997M), diriwayatkan bahawa Raja Poni telah menghantar utusan ke
Negara China dengan rombongan Kerajaan Poni diketuai oleh Po-Ya-Li (Buyali atau
Abu Ali). Di ketika itu, rombongan Kerajaan Poni telah membuat persembahan yang
berbentuk 100 kulit kura-kura, kapur barus, 5 keping kayu gaharu, 3 dulang
cendana, kayu raksamala dan 6 batang gading gajah. Rombongan Kerajaan Poni ini
juga membawa bersama sepucuk surat bermohor diraja Kerajaan Poni yang antara
isi kandungannya adalah mendoakan lanjut usia Maharaja China serta memohon
perlindungan China bagi Kerajaan Poni daripada diserang oleh mana-mana kerajaan
lain di dunia. Dari sini dapat disimpulkan bahawa Kerajaan Poni juga adalah
antara kerajaan yang telah menghantar ufti kepada Maharaja China. Dan di dalam
statistik yang dikeluarkan sewaktu era Dinasti Ming (1368-1643) ada menyatakan
bahawa Kerajaan Poni telah menghantar ufti sebanyak 8 kali pada waktu itu.



Selain daripada itu bagi membenarkan adanya satu
kerajaan kuno pernah wujud di Brunei suatu waktu dahulu adalah apabila di dalam
jurnal sejarah Negara China juga mencatatkan bahawa pemerintah bagi Kerajaan
Poni yang pertama adalah bernama Pinka Kaundinya yang memerintah pada Tahun 518
Masihi. Dan di dalam tulisan dari Dinasti Sui (589M-618M) dan Dinasti Tang
(618M-906M) pula mencatatkan bahawa Kerajaan Poni seterusnya diperintah oleh
Hu-la-na-po Chariyaka. Sekitar tahun 977 Masihi pula Kerajaan Poni diperintah
oleh Xiangda atau Sri Anakda. Pada tahun 1082 pula Kerajaan Poni diperintah
oleh Sa-li Mah-lui (Seri Ma-je) dan sekitar tahun 1370, utusan China yang
datang ke Poni telah mencatatkan bahawa Kerajaan Poni pada masa itu adalah
dibawah kekuasaan Ma-ho-mo-sha (Maha Mokhsa) dan Maha Mokhsa inilah yang
menghantar utusan balas ke China pada bulan Ogos 1371.



Kemudian ditulis juga bahawa pemerintah Kerajaan
Poni adalah Ma-na-je-sha-na-wang-sha (Maharaja Sarawangsa) yang telah berkahwin
dengan Tz’i-shih-pa-ti (Sripati). Hasil perkahwinan mereka dikurniakan dengan 4
orang putera bernama Ma-hsieh-je-chia-na-nai (Maha Suriya Jayakaranaya),
Shih-li-nan-na-na-je (Sri Linananaraja), Shih-wei-je-na-sha (Sri Vijayarasa),
Na-na-wan-je-hsieh (Narawang Jayasuriya) dan putera yang bongsu bernama
Ma-na-je chia-na (Maharajakarna). Dicatitkan juga bahawa Majarajakana inilah
yang mangkat di Negara China sewaktu membuat lawatan ke Negara China dan
dimakamkan di Nanking. Dan selepas Kerajaan Poni pula diperintah oleh Hsia-wang
(Suriwang) yang merupakan pemerintah Kerajaan Poni yang terakhir dicatatkan.



Mungkin Suriwang ini merupakan pemerintah Kerajaan
Poni yang terakhir dan selepas itu barulah munculnya sebuah Kerajaan Kesultanan
Brunei Darussalam bermula yang diperintah oleh Awang Alah Batatar atau Sultan
Muhammad Shah (1368 – 1402).


Dari konteks rujukan dari bangsa Eropah pula
seperti apa yang dicatatkan oleh seorang pakar geografi berbangsa Greek yang
yang bernama Ptolemy, Atlas Dunia judul bukunya yang mencatatkan peta-peta beberapa
buah pelabuhan merujuk kepada satu tempat yang dinamakan Pulau Barli di Borneo
dan dicatatkan juga ada satu peradaban berlaku di tempat itu dan berkemungkinan
besar ianya merujuk kepada kewujudan Kerajaan Poni iaitu Kerajaan Brunei Tua
ini.



Di dalam sebuah kitap karangan Sheikh Shamsuddin
Abu Ubaidillah Muhammad bin Talib Al-Damshik yang berjudul Nukhbatud Dahri fi
“Ajaibil Barri wal Bahri yang ditulis dalam pada tahun 1865 pula melalui
keterangan yang dicatatkan oleh 2 orang ahli pelayaran Arab bernama Sulaiman
bin Ahmad Al-Mari dan Ibnu Majid yang berlayar ke bumi Nusantara sekitar 15-16
masihi pula mencatitkan mereka merentasi satu lautan yang luas yang dinamakan
Laut Berunai. Mungkin apa yang dicatitkan oleh pelayar Arab ini lebih merujuk
kepada Kerajaan Kesultanan Brunei sekarang berdasarkan kepada garis waktunya.



Inilah sekelumit ruang informasi di dalam kita
cuba mengungkai satu lagi sejarah sebuah kerajaan kuno di bumi Borneo yang
digelar Kerajaan Brunei Tua atau Kerajaan Poni mengikut yang dicatatkan oleh
jurnal sejarah Negara Tembok Besar China. Setakat ini belum ada lagi penemuan
arkeologi bagi merujuk kepada Kerajaan Brunei Tua ini dan yang hanya ada
merupakan catitan-catitan jurnal lama yang membenarkan bahawa Kerajaan Brunei
Tua ini pernah wujud suatu waktu dahulu sebelum Kerajaan Kesultanan Brunei
Darussalam ada.

























































Share this

Related Posts

close