Mengecilnya Wilayah Kesultanan Brunei Darussalam












Negara
Brunei yang kita kenali sekarang merupakan sebuah Negara Islam kecil yang
berada di Pulau Borneo. Mengimbau berdirinya satu kerajaan ini terlalu unik
kerana suatu waktu dahulu Negara ini merupakan sebuah empayar besar yang mana
jajahan takluknya bukan sahaja ¾ daripada Borneo itu sendiri malah 
sehingga menyeberangi laut iaitu di Negara Filipina yang kita kenali
sekarang. 





Menyelusuri sejarah zaman keagungan empayar Brunei
ini adalah sekitar abad ke 15 hingga ke 17 Masihi. Kemuncak kegemilangannya
adalah sewaktu diperintah oleh Sultan Bolkiah (1485M-1524M) yang cukup terkenal
dengan sifatnya yang suka belayar. Sewaktu pemerintahan beliaulah Kerajaan
Manila serta kerajaan-kerajaan kecil yang lain di Filipina menjadi jajahan
takluk empayar Brunei pada waktu itu.
 





Namun begitu apabila sudah ada pengaruh Eropah
iaitu Sepanyol mula memainkan peranannya di Filipina maka satu demi satu
jajahan takluk Brunei di Filipina semakin mengecil. Pada tahun 1570, angkatan
Sepanyol ini telah berperang dengan Kerajaan Manila yang juga disebut Kota
Seludong. Ianya merupakan satu kerajaan yang dibawah perlindungan Kerajaan
Brunei, Kerajaan Sulu dan Kerajaan Ternate. Sewaktu Sepanyol tiba di Manila,
Kerajaan Manila ini dibawah pemerintahan raja nya yang bernama Sulayman.
 






Pada serangan yang pertama, Manila tidak dapat
ditawan dan usaha De Legazpi hanya berjaya pada tahun 1571. Raja Sulayman
bersama-sama dengan tentera Manila telah ditewaskan malah pemimpin Kerajaan
Manila ini juga turut terkorban pada pertempuran yang berlaku pada 3hb Jun 1571
itu. Atas kemenangan inilah juga akhirnya Sepanyol mengistiharkan Manila
sebagai pusat pemerintahan Sepanyol di Timur pada masa itu.
 






Atas rasa ingin memastikan bahawa pengaruh Sepanyol
di Manila utuh serta boleh menyekat pengaruh perkembangan Islam yang dibawa
oleh Kerajaan Brunei tidak terus kuat di bumi Filipina pada masa itu maka pada
tahun 1578, Sepanyol telah menyerang Brunei. Tanggal 13 April 1578 menyaksikan
armada laut Sepanyol dibawah pimpinan Dr. Fansisco de Sande dengan kekuatan 40
buah kapal perang telah bertembung dengan armada laut Brunei dengan kekuatan 50
buah kapal perang. Sejarah perang ini dikenali sebagai Perang Kastila 1578.
 






Pertempuran kali pertama ini telah menyaksikan satu
perang yang hebat namun nasib tidak menyebelahi angkatan tentera Brunei.
Dikatakan angkatan Brunei menghadapi kekalahan kali pertama yang teruk. Mereka
berundur ke daratan Brunei kembali dan ini menjadikan moral anggota tentera
Sepanyol di tahap yang paling tinggi. Mereka mengatur strategi untuk memulakan
peperangan darat.
 






Pada tanggal 16, 20, 24 April 1578, Brunei diserang
bertubi-tubi dengan serangan darat dan juga bantuan meriam dari armada laut
Sepanyol. Askar-askar Sepanyol berjaya akhirnya merempuh istana serta kota
Brunei pada masa itu. Dan terdapat konflik sejarah di dalam Perang Kastila ini
bagaimana pensejarahan Sepanyok menyatakan bahawa mereka meninggalkan bumi
Brunei pada sekitar Jun 1578 adalah kerana anggota Sepanyol diserang wabak
sakit taun.






Namun hakikatnya Pada masa itu dikatakan anggota
tentera Sepanyol tidak mampu mempertahankan diri daripada amukan dan jiwa
kental pahlawan Brunei dibawah pimpinan Pengiran Bendahara Sakam ibnu Sultan
Abdul Kahar. Pengiran Bendahara Sakam telah menggempur habis-habisan Sepanyol
sehingga memaksa tentera Sepanyol melarikan diri sehingga ke wilayah Nausung
(Sabah) pada tanggal 26 Jun 1578.






Selepas kekalahan itu menyaksikan Sepanyol tidak
pernah lagi menganggugugat Kerajaan Brunei di tanahairnya tersendiri sebaliknya
mereka lebih memfokuskan perluasan kuasanya di sekitar Filipina seperti di
Kepulauan Sulu mahupun Mindanau. Dan kerana kelemahan di dalam struktur
kerajaan-kerajaan ini juga menyaksikan satu persatu wilayah Brunei di Sulu
mahupun Mindanau jatuh ke tangan Sepanyol pada akhirnya.






Mangkatnya Sultan Muhammad Hassan iaitu Sultan
Brunei yang memerintah dari tahun 1582 hingga 1598 menyaksikan kesemua tanah
jajahan Brunei di Filipina dimiliki oleh Sepanyol ataupun membebaskan diri
daripada cengkaman Kerajaan Brunei. Pergolakan dalaman di dalam Kerajaan Brunei
itu juga salah satu daripada sebabnya yang menyaksikan sebuah kerajaan yang
kuat menjadi semakin lemah.
 






Perang saudara antara Pengiran Abdul Hakkul Mubin
(1661-1673) dengan Pengiran Muhyiddin menyaksikan tanah jajahan Brunei di utara
Borneo atau Sabah sekarang pula menjadikan ianya bertukar tangan dimiliki oleh
Kerajaan Sulu yang satu ketika dahulu adalah tanah jajahan Kerajaan Brunei.
 






Apabila pengaruh Belanda dan Inggeris mula bertapak
sekitar kurun ke-18 Masihi menyaksikan banyak jajahan Kerajaan Brunei juga
turut bertukar tangan. Dengan sistem pemerintahan Brunei di utara Borneo iaitu
yang berbentuk kerajaan, tanah kuripan dan hak tulin akhirnya menjadi imbalan
kepada Inggeris. Dan pada tahun 1773 menyaksikan bagaimana Pulau Balambangan
iaitu yang terletak di utara Borneo menjadi hak kepada Inggeris sepenuhnya.
 






Belanda pula menjadikan satu persatu tanah jajahan
yang besar di tengah, timur dan selatan Borneo atau yang kita kenali sebagai
Kalimantan sekarang menjadi miliknya. Kerajaan Sambas, Kerajaan Matan dan
banyak lagi satu persatu jatuh di tangan Koloni Belanda tanpa meninggalkan
belas sedikitpun kepada Kerajaan Brunei pada masa itu.
 






Kedatangan seorang pengembara berbangsa Inggeris ke
Sarawak sekitar tahun 1838 pula menyebabkan wilayah Sarawak pula menjadi hak
kepada empayar James Brooke. Atas nama ingin meredakan kekacauan ataupun
penentangan masyarakat tempatan Sarawak atas pemerintahan Brunei di Sarawak
akhirnya satu persatu wilayah tanah jajahan Brunei di Sarawak menjadi hak
Brooke samada ianya sebagai hadiah kerana membantu mahupun dipajak atau dijual
kepada Brooke.
 






Sekitar tahun 1906, pemerintah Brunei sudah mulai
sedar atas kehilangan jajahan takluknya sehingga setiap perincian mengenai
sempadan Negara mereka dibuat dengan cukup teliti. Inilah pensejarahan Kerajaan
Brunei yang merupakan sebuah empayar maritim yang gah namanya suatu waktu
dahulu sehingga menjadi sebuah Negara kecil tetapi kaya seperti sekarang.
 








Share this

Related Posts

close