HANFU: PAKAIAN TRADISI CINA YANG HILANG










Sempena Tahun Baru Cina, ramai
akan mengenakan Cheongsam (bagi perempuan) dan Samfu (bagi lelaki) sebagai
tanda meraikan tradisi, atas tanggapan umum bahawa Cheongsam dan Samfu
adalah pakaian tradisi Cina. Malah di sesetengah pertunjukan budaya di
Malaysia, model lelaki yang memakai Samfu akan memakai tocang sekali di kepala.







Sebenarnya Cheongsam serta Samfu ialah
pakaian klasik, bukan pakaian tradisi. Asal usulnya ialah fesyen orang
Shanghai, China pada 1920-an. Selepas Komunis menguasai China pada tahun 1949,
ramai orang Shanghai telah berhijrah ke Hong Kong, Taiwan dan negara-negara
Barat, maka fesyen Cheongsam turut disebarkan ke seluruh dunia.





Cheongsam (長衫,
istilah Kantonis yang bermaksud “baju panjang”) atau Qipao (旗袍, istilah Mandarin yang
bermaksud “jubah Qi/Panji”) dan Samfu (衫褲,
istilah Kantonis yang bermaksud “busana”) atau Magua (馬褂)
diubah suai dari busana orang Manchu atau orang Qi (旗人,
“Bannermen”) yang memerintah China dari 1644 hingga 1911. Orang Manchu bukan
etnik Cina, tetapi berasal dari kawasan Manchuria di timur laut China. Selepas
menakluki China pada 1644, orang Manchu cuba mengasimilasi orang Cina dengan
mengharamkan pakaian tradisi Cina yang asli iaitu Hanfu (漢服, “pakaian Han”) dan memaksa
kaum lelaki mencukur rambut depan dan mengikat rambut belakang dalam bentuk
tocang, mirip gaya rambut orang Manchu. Keengganan untuk bertocang boleh
mendatangkan hukuman bunuh, dan ramai orang Cina terkorban kerana terikat
dengan adat Konfusianisme yang mengharamkan mencukur rambut.





Walaupun Hanfu ini beragam
mengikut perkembangan dinasti, ia mempunyai kesinambungan reka bentuk iaitu
kelepak yang longgar dan terbuka, lengan yang panjang dan longgar. berbeda
dengan pakaian orang Manchu yang berkolar tertutup,serta berlengan sempit dan
ketat. Reka bentuk busana tradisi Korea (Hanbok) dan Jepun (Kimono) adalah
berdasarkan Hanfu.





Kalau diperhatikan, ragam Hanfu
pada Dinasti Ming (1368-1644) adalah mirip dengan Baju Panjang yang dipakai
oleh Nyonya di Melaka. Ini kerana Baba dan Nyonya adalah berasal dari keturunan
imigran Dinasti Ming. Kaum Baba juga tidak bertocang seperti imigran Cina
semasa abad ke-19.





Selepas Dinasti Qing digulingkan
oleh revolusioner Cina Han yang dipimpin Sun Yat-Sen pada 1911, orang Cina
terus memotong tocang sebagai tanda pembebasan dari pemerintahan Manchu. Namun
gaya rambut serta busana tradisi Han yang asal tidak di kembalikan. Sun Yat-Sen
ialah seorang yang berfikiran moden dan berpaksikan Barat, dan tren intelektual
ketika itu juga berpaksikan modenisme. Maka, tradisi pakaian Cina Han yang
pernah berlangsung selama 2000 tahun tenggelam begitu sahaja.





Busana tradisi bukan setakat
fesyen, tetapi ia mengandungi falsafah atau pandangan dunia (“worldview”)
sesebuah masyarakat. Hanfu melambangkan falsafah Konfusianisme yang mengandungi
nilai-nilai kesantunan dan keadaban yang tidak dapat dibawa oleh fesyen moden.





Hari ini masih ada yang memakai
Hanfu untuk menunjukkan apresiasi sejarah, namun mereka akan dipandang serong
dan sinikal, sama seperti sikap segelintir orang kita yang mempertikaikan niat
Faiz Subri untuk mengenakan busana tradisi Melayu. Nasib Hanfu telah
membuktikan bahawa kalau sesebuah bangsa tidak menghargai dan membiasakan
memakai busana tradisi, ia akan pupus begitu sahaja. Jangan membiarkan busana
tradisi kita menghilang ditelan oleh arus pemodenan.







Nota: orang Cina juga dikenali
sebagai orang Han. Di China, istilah “Cina Han” (Han Chinese) digunakan untuk
membezakan warganegara China etnik Cina dan etnik bukan Cina (seperti Manchu,
Mongol, Uyghur, Tibet).




Share this

Related Posts

close